Kejadian hujan lebat yang berlaku di Selangor mengakibatkan beberapa kawasan sekitar Subang dinaiki air sekali gus mengakibat banjir kilat.
Hujan lebat berterusan sejak pukul 4 petang pada Ahad mengakibatkan kawasan Jalan Persiaran Subang, Subang Jaya, USJ dan SS14 dinaiki air.
Situasi itu dikongsikan dalam media sosial oleh penduduk dan pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan.
Berdasarkan perkongsian dalam media sosial, kawasan parkir dan tingkat bawah sebuah pusat beli-belah di Subang turut dimasuki air.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.39 pada Ahad.
Susulan itu, beliau berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya digerakkan ke lokasi.
“Setiba di lokasi didapati banjir setinggi kira-kira 0.3 meter menenggelami bahagian bawah tanah pusat beli-belah itu.
“Kejadian turut membabitkan sebuah kedai peralatan elektrik yang terletak di aras sama,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, beliau berkata, insiden itu tidak membabitkan mangsa dan air sudah mulai surut.