Seekor harimau belang ditemui mati dipercayai dilanggar sebuah treler di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Hentian Sebelah Gua Tempurung, Gopeng, Perak pada Khamis.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim, berkata, pihaknya dimaklumkan tentang kejadian tersebut sekitar pukul 12.30 pagi.
Sementara itu, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak ke lokasi kejadian mendapati maklumat diterima benar.
“Harimau jantan itu dianggarkan berusia 8 hingga 10 tahun dan bangkainya telah di bawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Kok Lim turut memberitahu, pihaknya percaya harimau itu adalah haiwan sama yang dilaporkan sebelum ini menyerang ternakan dan menimbulkan kegusaran penduduk sekitar Kampar.
Pihak Perhilitan percaya penyakit demam babi Afrika atau ‘African Swine Fever’ (ASF) menjadi punca utama menyebabkan populasi babi hutan turun mendadak.
Ia menyebabkan harimau merayau hingga ke pinggir hutan atau kampung dan sejak ia mula mengesan lembu orang kampung yang dibiarkan bebas dipinggir hutan dan dalam ladang sawit, ia mendapat diet baru yang lebih mudah diserang.
Kok Lim menjelaskan, mengikut pemerhatian pihak Perhilitan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Tabung Alam Sedunia (WWF) melalui pemasangan perangkap kamera, sememangnya babi hutan masih berkurangan.
Oleh itu, tambahnya, potensi untuk harimau itu masuk semula ke hutan tebal kekal rendah disebabkan populasi babi masih kurang, di samping diet baru yang lebih mudah diserang berbanding babi hutan.
Bagaimanapun, katanya, kajian akan terus dijalankan untuk memastikan punca-punca masalah diketahui, seterusnya ditangani.
Baca juga: