Kerajaan Selangor peruntuk RM2.53 bilion dalam Belanjawan 2024

Kerajaan Selangor memperuntukkan RM2.53 bilion dalam Belanjawan 2024 bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari ketika pembentangan belanjawan di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jumaat memaklumkan sebanyak RM1.33 bilion atau 52.6 peratus peruntukkan itu untuk perbelanjaan mengurus termasuk bayaran emolumen kepada kakitangan awam berjumlah RM480 juta.

Bagi perbelanjaan pembangunan, kerajaan negeri pula memperuntukkan RM1.2 bilion untuk tahun hadapan.

Sementara itu Amirudin memaklumkan kerajaan negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip berjumlah RM2.2 bilion tahun depan berdasarkan rekod pencapaian pada Ogos 2022 dan September tahun ini.

Antara penyumbang utama kepada hasil negeri tahun 2024 ujarnya adalah premium tanah sebanyak RM 890.94 juta bersamaan 40.5 peratus daripada anggaran hasil keseluruhan.

“Penyumbang kedua terbesar hasil cukai tanah sebanyak RM622.65 juta (28.3 peratus) dan ketiga pemberian persekutuan berjumlah RM212.96 juta, 9.7 peratus daripada pendapatan 2024,” tambahnya.

Dalam pada itu, Amirudin turut berkata, belanjawan kali ini turut mengalami defisit berjumlah RM330 juta, namun lebih rendah berbanding tahun lalu dengan pengurangan sebanyak RM120 juta.

“Walaupun melaksanakan perbelanjaan defisit sejak enam belanjawan lalu kerajaan negeri akan mengambil langkah untuk mengurangkan angka tersebut kepada satu jumlah yang munasabah menerusi instrumen kawalan perbelanjaan serta amalan prinsip tadbir urus kewangan yang baik tanpa menjejaskan ‘output’ dan impak perbelanjaan,” jelasnya

Bertemakan Selangor Mandiri: Memacu Kemajuan, Memicu Perpaduan, Belanjawan Selangor 2024 digerakkan melalui empat teras utama iaitu pemangkin pelaburan berkualiti, menjana pendapatan tinggi; mengangkat pendidikan bestari, menjamin alam sekitar lestari; menaungi kebajikan rakyat dan mengangkat kesatuan ummah.

Baca lagi: