Nasional

PSKL2040 sasar kepelbagaian mod pengangkutan awam lebih meluas

Kepelbagaian mod pengangkutan awam yang berintegrasi perlu dipertingkatkan, bagi mencapai sasaran penggunaan pengangkutan awam iaitu 60 peratus pada 2030 dan 70 peratus menjelang tahun 2040, menurut Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040).

Kepelbagaian mod pengangkutan awam yang berintegrasi, akan mempengaruhi anjakan kebergantungan daripada kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam dan kenderaan mikromobiliti.

“Ini seterusnya dapat menyokong pembangunan ekonomi bandar dan sosio-ekonomi serta mengurangkan pencemaran alam sekitar,” menurut dokumen itu.

Menurut kandungan PSKL2040, rangkaian pengangkutan awam sedia ada dan dalam perancangan meliputi hampir keseluruhan kawasan tumpuan pekerjaan, terutamanya kawasan pusat bandar Kuala Lumpur, Bukit Jalil, Bangsar, Pusat Bandar Damansara dan Wangsa Maju.

Sebahagian daripada liputan rangkaian ini juga, meliputi kawasan kediaman antaranya Taman Tun Dr. Ismail, Cheras dan Kepong.

“Liputan 400 meter (m) dari stesen rel disasarkan meningkat daripada 18 peratus kepada 35 peratus daripada keluasan Kuala Lumpur pada 2040, manakala liputan 400m dari laluan pengangkutan awam disasarkan meningkat daripada 32 peratus kepada 70 peratus daripada keluasan Kuala Lumpur pada 2040,” seperti terkandung dalam dokumen tersebut.

Pelan itu menyebut kawasan Kepong Lama-Jinjang, Penchala-Menjalara, Setapak, Bangsar, Alam Damai di Cheras, dan OUG–Puchong, merupakan kawasan berpotensi bagi rangkaian pengangkutan awam masa hadapan.

“Kawasan itu perlu diberi keutamaan bagi meningkatkan liputan perkhidmatan pengangkutan awam termasuklah cadangan laluan baharu, sama ada laluan rel, Transit Aliran Bas (BRT) dan lain-lain mod pengangkutan bagi mencapai sasaran pisah ragam pengangkutan awam di Kuala Lumpur menjelang tahun 2040,” katanya.

Pada masa sama, kemudahan sokongan seperti bas awam, bas pengantara, park and ride dan kemudahan laluan pejalan kaki yang selesa dan selamat ke pengangkutan awam, juga akan dipertingkatkan.

PSKL2040 turut mengenal pasti enam koridor utama yang berpotensi sebagai koridor perkhidmatan BRT di ibu kota, sebagai sistem transit antara bandar atau pusat tempatan yang dapat melengkapkan sistem rel yang dibangunkan di Kuala Lumpur.

Enam koridor utama itu ialah Ampang-Kepong, Taman Melawati–Pusat Bandar Raya Kuala Lumpur, Ampang-Pusat Bandar Raya Kuala Lumpur, Puchong-Pusat Bandar Raya Kuala Lumpur, Kerinchi-Alam Damai, dan Klang-Pusat Bandar Raya Kuala Lumpur.

“Oleh itu, satu pelan reka bentuk koridor BRT yang terperinci, perlu disediakan bagi menentukan right of way bagi jajaran transit bas, hentian BRT serta reka bentuk persimpangan jalan dan platform setiap hentian,” menurut dokumen itu.

Dalam pada itu, PSKL2040 turut menyasarkan peningkatan sehingga 60 peratus pejalan kaki dan mereka yang berbasikal menjelang tahun 2040, menerusi Pelan Induk Pejalan Kaki dan Berbasikal Kuala Lumpur 2019-2028 yang disediakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Pemakaian pelan induk ini, amnya tertumpu kepada tiga kawasan iaitu kawasan kejiranan, perdagangan dan pusat pekerjaan, serta stesen transit dan ini sebahagian usaha untuk mencapai mod pengangkutan 70 peratus pisah ragam pengangkutan awam di Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, skim Road User Charging (RUC) akan dilaksanakan, setelah semua pembangunan rangkaian pengangkutan awam lengkap dan berkesinambungan.

Skim ini bertujuan untuk mengurangkan kesesakan jalan raya, dengan mengehad kemasukan kenderaan persendirian ke pusat bandar Kuala Lumpur menerusi beberapa pelaksanaan, antaranya RUC pada setiap kenderaan persendirian dan e-panggilan, yang boleh diintegrasikan dengan sistem pengumpulan maklumat selain trafik seperti MySejahtera dan lain-lain aplikasi.

Diwartakan pada 19 Oktober 2023, PSKL2040 kini menggantikan PSKL2020 sebagai dokumen perancangan masa hadapan Kuala Lumpur dalam memacu pembangunan strategik ibu negara Malaysia secara indikatif sehingga 2040. – Bernama

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close