Nasional

“Video betul, audio palsu” – Mr H didakwa dalang sebar fitnah untuk cemar reputasi Agus

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff menafikan dirinya terlibat dalam rakaman video mengandungi perbualan lucah yang tular baru-baru ini. 

Dakwanya, audio video tersebut sudah disunting oleh pihak tertentu dan dikatakan bertujuan untuk menjatuhkan dan mencemarkan nama baiknya. 

Malah beliau turut membiarkan polis untuk melakukan siasatan lanjut sekali gus dapat mengenal pasti kumpulan berniat jahat digelarkan sebagai Mr H dan beberapa individu lain yang dipercayai terlibat dengan perkara itu.

“Laporan polis sudah dibuat, jadi biarkan kepada mereka untuk melakukan siasatan. Saya ingin menjelaskan perkara sebenar dan bersihkan nama saya. 

“Saya sudah serahkan kepada kepada peguam senarai nama-nama orang berpengaruh termasuk mereka dalam J-KOM.

“Saya minta PMX (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengkaji orang dalam J-KOM agar tidak menjadi musuh dalam selimut,” katanya dalam sidang media pada Jumaat. 

Malah, beliau memberitahu, video yang tersebar itu sudah dilihatnya lebih awal selepas ditunjukkan kepadanya.

Namun, beliau tidak mengambil sebarang tindakan.

“Saya fikir tak nak panjangkan, cuma tak sangka lepas saya ambil tindakan mudah ini, ini yang berlaku.

“Rancangan (letak jawatan) tu soal lain. Saya tak tahu video akan tersebar,” jelasnya.

Sementara itu, lelaki yang didakwa sebagai Wahab atau Abdul Wahab Kadir JIlani, 33, mendakwa individu yang digelarkan sebagai Mr H bertanggungjawab dan dalang disebalik kejadian berkenaan. 

Katanya, dia dimaklumkan oleh Mr H bahawa Datuk Agus terlibat dalam aktiviti tidak bermoral dan dia diminta untuk mendapatkan bukti. 

“Video itu palsu dan direka serta tidak benar. Ia sudah mencemarkan maruah saya dan saya sedar telah digunakan dan menjadi kambing hitam oleh pihak yang ingin menjatuhkan Datuk Agus.

“Saya digunakan dalam komplot keji untuk menfitnah datuk. Saya diarahkan oleh Mr H. Saya ditawarkan jawatan,” dakwa Wahab.

Dalam pada itu, Agus memberitahu, beliau tidak berkecil hati dengan tindakan Wahab yang dikatakan cuba ‘memerangkapnya’ dengan merakam video perbualan mereka di aplikasi WhatsApp. 

“Wahab ini naif, anak kecil, penyesalan dia dan kehadiran dia untuk hari ini sudah cukup pada saya. 

“Apa yang saya kesal, dia ada imej hitam iaitu kesan daripada apa yang berlaku,” ujarnya. 

Sementara itu, Wahab mengakui rakaman video tersebut benar wujud, tetapi rakaman terbabit tidak memiliki audio.

Bagaimanapun, Wahab memberitahu, dia tidak memiliki rakaman asli video terbabit, sebaliknya sudah diberikan kepada Mr H. 

Rakaman itu juga dikatakan dibuat ketika Agus sedang bercuti. 

“Saya tidak memiliki video itu. Video yang asli sudah diberikan kepada Mr H,” ujarnya.

Susulan kejadian itu, Agus membuat laporan polis manakala Wahab masih belum membuat keputusan sama ada untuk melakukan perkara sama atau tidak. 

Untuk info Wahab merupakan bapa kepada empat orang cahaya mata sebelum ini bergelar sebagai ahli perniagaan dalam sektor makanan dan baru menyertai jabatan tersebut pada 1 November lalu sebagai Penolong Pegawai. 

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close