Negeri

Bakal bersara 27 November depan, guru besar kongsi video rumah guru siap dinaik taraf

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan, Telupid, George Odol yang sebelum ini mendedahkan terpaksa tinggal di stor prasekolah, berkongsi perkembangan terbaharu mengenai kemudahan rumah guru di sekolah itu.

Menerusi sebuah video yang dikongsikan di Facebook Malaysia Mendidik, George yang akan bersara wajib pada 27 November ini menunjukkan sederet rumah guru yang sudah siap dinaik taraf dan mula digunakan warga pendidik sekolah berkenaan.

Bangunan terbabit yang mengandungi tujuh pintu kelihatan kemas dan teratur berbanding bangunan asal yang hanya dilengkapi lima pintu berdindingkan zink yang kelihatan daif dan tidak selesa sebagai tempat tinggal.

Difahamkan, bangunan asal berbentuk rumah panjang yang dijadikan rumah guru itu pada mulanya dibina oleh guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta masyarakat setempat kerana tiada kuarters guru dibina di sekolah terbabit sejak ia dibuka pada 2000.

Dalam video terbabit, George melaporkan bahawa video yang dimuat naik beliau di TikTok sebelum ini adalah situasi dan pengalaman yang dilaluinya sebelum rumah guru yang usang itu siap dinaik taraf.

“Saya ingin mengulas mengenai video yang saya ‘upload’ minggu lalu mengenai isu rumah guru di sekolah ini terutama guru besar yang tinggal di stor prasekolah.

“Untuk makluman, kenyataan saya itu tidak membabitkan dua bulan terakhir perkhidmatan saya di sekolah ini. Saya mula datang melapor diri untuk bertugas sebagai pentadbir di sekolah ini pada bulan Jun 2020 dan akan menamatkan perkhidmatan saya di sekolah ini pada 27 November 2023, lagi beberapa hari.

“Jadi, dalam menangani isu rumah guru di SK Ulu Ansuan, Kementerian Pendidikan mengambil langkah drastik iaitu rancangan jangka pendek dan rancangan jangka panjang.

“Dalam rancangan jangka pendek, Kementerian Pendidikan memperuntukkan RM200,000 untuk menyelenggarakan rumah guru yang sedia ada di sekolah ini sebanyak tujuh unit dan siap sepenuhnya pada hari ini (semalam) dan sudah mula dihuni oleh guru-guru di sekolah ini,” katanya.

Beliau merujuk kepada peruntukan penyelenggaraan sebanyak RM200,000 yang disalurkan Kementerian Pendidikan bagi menyelenggara dan menaik taraf rumah guru sedia ada itu yang bermula pada Jun lalu dan siap bulan ini.

Menerusi video yang sama, George turut mengulas pengumuman yang dibuat Kementerian Pendidikan beberapa hari lalu mengenai rancangan jangka panjang untuk menaik taraf sekolah luar bandar berkenaan, termasuk membina empat lagi kuarters guru.

“Rancangan jangka panjang pula, Kementerian Pendidikan memperuntukkan RM12.5 juta untuk membina empat lagi rumah guru di sekolah ini.

“Jadi, dengan dua tindakan drastik yang diambil Kementerian Pendidikan melalui rancangan jangka pendek dan panjang, ini bererti isu rumah guru di SK Ulu Ansuan ini akan berakhir dalam masa yang terdekat ini,” katanya.

Video dikongsi George sebelum ini yang menunjukkan suasana stor dijadikan tempat tinggalnya mendapat perhatian ramai netizen sebelum Kementerian Pendidikan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung tindakan yang sudah diambil bagi menangani masalah rumah guru di sekolah itu. – Harian Metro

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close