Global

Benjamin Netanyahu minta kerajaannya terima perjanjian dengan Palestin untuk gencatan senjata

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, meminta kerajaannya menerima perjanjian bersama pejuang Palestin, Hamas untuk membebaskan beberapa tebusan di Gaza.

Perkara itu kini dibentangkan bagi persetujuan Kabinet Israel, sebagai pertukaran untuk gencatan senjata selama beberapa hari, ketika seorang tebusan dilaporkan mati dalam tahanan.

Pegawai dari Qatar, yang menjadi pengantara rundingan, bersama Amerika Syarikat (AS), Israel dan Hamas, menyatakan perjanjian ‘sudah hampir dicapai’ sejak beberapa hari lalu.

Sebelum bertemu dengan kerajaan Israel, Netanyahu bertemu dengan Kabinet perangnya dan Kabinet keselamatan negara mengenai perjanjian itu.

Menurut Israel, Hamas dipercayai menahan kira-kira 240 tebusan, yang diculik ketika pejuangnya menyerbu masuk ke Israel pada 7 Oktober, membunuh 1,200 orang.

Di Gaza, lebih 14,000 orang, sekurang-kurangnya 5,800 daripadanya kanak-kanak, telah terbunuh dalam perang, kata pegawai di wilayah dikawal Hamas.

Perdana menteri Israel itu berkata campur tangan Presiden AS, Joe Biden, telah membantu memperbaiki perjanjian itu supaya ia menjanjikan pembebasan lebih banyak tebusan untuk tambahan konsesi.

Bagaimanapun, Netanyahu berkata misi Israel yang lebih luas iaitu memperluaskan serangan terhadap Palestin sehingga Kumpulan Hamas dihapuskan sama sekali, kekal tidak berubah.

“Kami sedang berperang dan kami akan meneruskan perang sehingga kami mencapai semua matlamat kami.

“Kami mahu memusnahkan Hamas, dapatkan kembali warga kami yang dijadikan tebusan dan pastikan tiada sesiapa di Gaza boleh mengancam Israel,” katanya dalam mesej yang dirakam pada permulaan mesyuarat kerajaan terbaru.

Jika dipersetujui, perjanjian itu akan menyaksikan gencatan senjata pertama perang Israel-Palestin di mana pengeboman Israel telah memusnahkan sebahagian besar Gaza.

Kira-kira dua pertiga daripada 2.3 juta orang awam di wilayah kecil berpenduduk padat itu kini kehilangan tempat tinggal, menurut pihak berkuasa di Gaza.

Seorang pegawai AS yang memberi taklimat mengenai perbincangan itu berkata perjanjian membabitkan 50 tebusan yang diambil dari Israel, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sebagai pertukaran untuk 150 tahanan Palestin manakala pertempuran dihentikan selama empat atau lima hari.

Tempoh gencatan senjata itu akan memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al-Ansari berkata, cadangan mengenai perjanjian pembebasan tebusan telah dihantar kepada Israel pada awal pagi Selasa.

“Qatar sedang menunggu keputusan undian kerajaan Israel mengenai cadangan itu,” katanya.

Ketika perhatian tertumpu pada perjanjian pembebasan tebusan, pertempuran di lapangan berlanjutan dengan Israel mengatakan pasukannya telah mengepung kem pelarian Jabalia yang didakwa sebagai pusat bandar utama dan kubu pejuang Hamas.

Agensi berita Palestin WAFA berkata 33 orang terbunuh dan berpuluh-puluh cedera dalam serangan udara Israel di bahagian Jabalia, kawasan bandar yang sesak di Bandar Gaza di mana Hamas telah bertempur dengan pasukan berperisai Israel.

Di selatan Gaza, media melaporkan 10 orang terbunuh dan 22 cedera akibat serangan udara Israel ke atas sebuah apartmen di bandar Khan Younis. – Agensi

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close