Kita akan ketahui keputusan kajian semula perintah gaji minimum sedikit masa lagi

Kajian semula perintah gaji minimum kini 80 peratus siap dengan lebih 15 sesi libat urus telah dilaksanakan di seluruh negara, kata Menteri Sumber Manusia.

V Sivakumar pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi KSM di Dewan Rakyat pada Selasa berkata, sesi libat urus terbabit diadakan oleh Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara.

“Sehingga kini fasa pelaksanaan kajian semula telah siap 80 peratus. Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara (JTPGN) telah melaksanakan perundingan awam dan 15 sesi libat urus di seluruh negara. Pada masa sekarang, JTPGN sedang dalam proses menyediakan laporan dapatan kajian.

“Sesi libat urus yang bersifat perundingan tiga pihak, membabitkan penyertaan wakil majikan, pertubuhan majikan, wakil pekerja, kesatuan sekerja dan orang awam. Ia bagi mendapatkan input secara kolektif sebagai asas penetapan kadar gaji minimum,” katanya.

Mengulas lanjut langkah kajian semula itu, Sivakumar menyifatkannya sebagai tindakan penting dalam usaha memastikan pelarasan perintah gaji minimum yang dibuat adalah bersifat dasar berasaskan pembuktian.

Penilaian kajian menurutnya dibuat secara terperinci supaya dapat melihat impak peluasan secara optimum, mengambil kira pelbagai faktor daripada aspek pekerja dan majikan.

“Ia dilaksanakan melalui kaedah empirikal kajian lapangan (pengumpulan data primer). Dapatan daripada analisis data primer kajian lapangan ini input penting dalam usaha penilaian kadar gaji minimum,” katanya.

“Hasil kajian ini dibentangkan dan dibincangkan dalam mesyuarat MPGN (Majlis Perundingan Gaji Negara) bagi menilai keupayaan pelaksanaan peluasan skop gaji minimum seterusnya akan diangkat untuk pertimbangan kerajaan,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat