Negeri

Bapa 3 anak didakwa lakukan amang seksual terhadap kanak-kanak 10 tahun

Seorang guru muzik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak pada Khamis terhadap dua pertuduhan melakukan amang seksual ke atas murid perempuan berusia 10 tahun pada Jun dan Julai lalu.

Tertuduh, Mohamad Nazmi Mohamed Nazri, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, bapa kepada tiga anak itu didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa dengan cara menyentuh kemaluan kanak-kanak itu dan meletakkan kemaluannya di punggung mangsa bagi maksud seksual.

Tertuduh melakukan perbuatan tersebut di bilik muzik di sebuah sekolah di Taman Pengkalan Jaya, Ipoh pada pukul 9.45 pagi Jun 2023 dan 10.30 pagi pada Julai 2023.

Kedua-dua pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat.

Jika sabit kesalahan, tertuduh juga hendaklah diletakkan di bawah pengawasan polis bagi tempoh sehingga tiga tahun seperti mana di bawah Seksyen 295(1A) Kanun Prosedur Jenayah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu’aini Khalifah manakala tertuduh diwakili peguam Syahrul Nizam Mohd. Rabi

Terdahulu, Qurratu’aini tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan bimbang kacau ganggu terhadap mangsa namun Syahrul Nizam memohon jaminan diberikan berikutan anak guamnya itu tidak pernah mengganggu saksi pendakwaan selepas aduan dibuat.

Beliau juga memberitahu, anak guamnya itu menghidap sakit jantung dan anemia.

“Sekiranya sesuai dikenakan syarat tambahan dengan tidak menganggu mangsa, pihak kami tiada bantahan termasuk melapor diri di balai polis berhampiran.

“Kami juga memohon supaya syarat jamin dalam kalangan ahli keluarga dikecualikan,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Disember depan untuk sebutan semula kes. 

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close