Anggota polis mengaku tidak bersalah pukul isteri dengan bakul

Anggota polis berpangkat Koperal mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh Perak pada Khamis atas dakwaan memukul isterinya, Mei lalu.

Tertuduh, Mohd Zulhazree Razali, 39, yang bertugas di Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh membuat pengakuan tidak bersalah itu sejurus pertuduhan dibaca di hadapan Majistret S Punitha.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Nur Atirah Suhana Che Razak, 29, yang merupakan isteri tertuduh dengan menendang, menampar dan memukul menggunakan bakul.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Persiaran Hulu Bercham 8, Bandar Baru Putra, Ipoh kira-kira pukul 7 pagi, 9 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A kanun sama, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Vatchira Wong Rui Fern manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Syahmi Amran.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM5,000 namun Ahmad Syahmi merayu ia diringankan kepada RM2,000 memandangkan tertuduh menanggung empat anak masih bersekolah berusia lima hingga 10 tahun.

Vatchira Wong turut memohon tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan membenarkan permohonan tertuduh tidak mengganggu mangsa, selain menetapkan 30 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh membayar wang jaminan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat