Aman Palestin menafikan jongkong emas yang dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diseleweng, sebaliknya ia sebagai manfaat pelaburan.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali menegaskan dakwaan menyeleweng dana sumbangan awam menerusi jongkong emas itu adalah tidak benar.
Katanya, pelaburan jongkong emas adalah bentuk pelaburan yang dibenarkan badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan, berdasarkan kuasa yang diberikan Ahli Lembaga Pengarah.
“Dakwaan itu berniat jahat dan tidak benar sama sekali. Ada 16 kuasa diberikan kepada Ahli Lembaga Pengarah Aman Palestin dan kuasa untuk melabur itu ada dalam pelbagai mekanisme.
“Ia tidak salah dan lagi pun emas itu bernilai serta mudah untuk ditukarkan kepada tunai, sebelum dihantar kepada mereka yang memerlukan bantuan.
“Dakwaan itu (seleweng) meleset, tidak betul dan tidak berintegriti selain berniat jahat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Aman Palestin, di sini, malam ini.
Katanya, Aman Palestin sentiasa melakukan pengauditan setiap tahun dan kali terakhir dilakukan pada 2021 dengan dokumen audit itu boleh dilihat dalam laman web Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Sebelum ini, media melaporkan SPRM merampas empat jongkong emas dalam siri serbuan di pejabat Aman Palestin pada 24 November lalu.
Jongkong emas yang bergred 999.9 itu masing-masing seberat satu kilogram, manakala barang lain yang dirampas adalah tiga komputer riba dan empat unit telefon bimbit.
Baca juga: