Nasional

Kerajaan akan teliti keperluan GEG lepas lulus RUU Kawalan Produk Merokok

Kementerian Kesihatan akan meneliti keperluan membawa semula klausa Generasi Penamat Rokok (GEG) sebaik Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dikuatkuasakan.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa, berkata kerajaan sedar wujud pelbagai pandangan dan pertikaian berhubung pengguguran klausa terbabit.

“Seperti saya nyatakan, semangat pada hari ini adalah untuk luluskan terlebih dahulu RUU yang sangat komprehensif ini terhadap kawalan produk merokok dan produk menggantikan rokok. Ia perlu dilaksanakan segera.

“Berkaitan GEG , ada pandangan dan sedikit pertikaian. Kita akan lihat selepas daripada penguatkuasaan (RUU) ini nanti. Kita akan terus memantau apa kesan RUU ini terhadap penurunan prevalens merokok dan sebagainya. Insya-Allah jika ada keperluan kita akan bawa kembali isu GEG ini,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Semalam, peruntukan berkaitan larangan penjualan produk tembakau dan rokok serta larangan merokok digugurkan daripada Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang dibentangkan sekali lagi untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Berdasarkan RUU sebelum ini, yang lebih dikenali sebagai RUU Generasi Penamat Rokok (GEG) dan dibentangkan bagi bacaan kali pertama pada 12 Jun lalu, terdapat empat peruntukan berkaitan larangan itu yang dikenakan terhadap individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.

Ia merangkumi Perkara 13, 14, 18 dan 19, iaitu larangan penjualan produk tembakau, bahan merokok, merokok produk tembakau dan merokok produk pengganti tembakau bagi orang yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.

Di bawah RUU baharu yang dibentangkan hari ini, di bawah Perkara 17 (1) larangan merokok dan menggunakan produk tembakau dikenakan kepada bagi orang belum dewasa iaitu di bawah usia 18 tahun.

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close