Pelajar tingkatan dua ditahan polis, pada Rabu selepas dipercayai membuang bayi yang baru dilahirkannya di semak kawasan perumahan di Bandar Baru Samariang, Kuching.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, pihaknya mengesan dan menahan remaja perempuan berusia 14 tahun itu di kawasan Matang, pada 8 malam, Rabu.
“Dia ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. Ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya yang dihubungi, hari ini.
Terdahulu, Ahsmon berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan bayi perempuan itu daripada orang awam kira-kira 9 pagi Rabu.
Susulan itu, beliau berkata, pihaknya menggerakkan anggota ke lokasi dan mendapati bayi berkenaan masih hidup serta dalam keadaan sihat.
“Bayi berkenaan dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk pemeriksaan lanjut dan dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Sementara, video penemuan bayi berkenaan turut tular di media sosial, yang menunjukkan bayi itu masih hidup dan bertali pusat.
Difahamkan, bayi berkenaan ditemukan di dalam beg plastik selepas penduduk mendengar tangisannya.
Seorang wanita kelihatan memegang dan membawa bayi itu ke sebuah kedai makan berhampiran, dengan orang ramai yang prihatin membantu membersihkannya.
Baca juga: