Pengunjung yang datang bercuti ke Melaka dipelawa untuk merebut potongan harga antara lima hingga 55 peratus membabitkan 28 lokasi menarik sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) menerusi pembelian kupon diskaun.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, tawaran tawaran kupoh itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada pelawat yang memilih Negeri Melaka sebagai destinasi percutian mereka.
Menurutnya, kupon diskaun akan dijual pada harga RM10 itu sah bagi kegunaan dua individu untuk memasuki mana-mana lokasi tarikan sekitar Melaka.
“Kempen ini akan bermula dari 1 Januari hingga 31 Disember 2024 dan layak dinikmati oleh kesemua pelancong yang berkunjung ke Melaka.
“Nilai sebenar kupon diskaun ini adalah RM383.88 yang boleh digunakan di 28 tempat tarikan pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kempen Cabutan Bertuah dan Kupon Diskaun Sempena Tahun Melawat Melaka 2024 dan Pelancaran Pelan Induk Pelancongan Melaka 20235 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di Ayer Keroh pada Rabu.
Terdahulu, kerajaan negeri Melaka memberi jaminan tiada kenaikan harga bilik hotel dan penginapan lain sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).
Ab Rauf berkata, perkara berkenaan akan dipantau pihaknya bagi memastikan tiada pengusaha hotel dan penginapan di negeri itu mengambil kesempatan menaikkan harga sewenang-wenangnya.
“Kita akan memantau dan memerhatikan tidak ada kenaikan harga bilik sepanjang TMM 2024 kerana secara dasarnya pengusaha hotel dan penginapan di Melaka akan mendapat jumlah pengunjung yang lebih ramai daripada biasa.
“Tindakan ini (menaikkan harga) tidak akan menguntungkan mereka kerana pengunjung mempunyai pilihan kerana di Melaka terdapat banyak hotel, inap desa serta penginapan lain dan kita juga ada unit yang mengawal hotel terlibat,” katanya.
Baca lagi: