Bangunan keluarga Tun Daim, Menara Ilham disita SPRM

Bangunan 60 tingkat yang berdiri megah di tengah ibu kota, Menara Ilham milik bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis.

Berdasarkan laporan media tempatan, perintah sita harta tak alih itu dikeluarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib kepada Pendaftar Hak Milik, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan mengikut Seksyen 38(1) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah.

“Ambil maklum bahawa mengikut Seksyen 38(5) Akta SPRM 2009, di mana sesiapa yang melanggar notis ini atau melakukan apa-apa tindakan yang bertentangan dengan notis ini, telah melakukan kesalahan yang boleh didenda tidak lebih daripada dua kali ganda jumlah nilai tersebut, atau RM50,000, atau mana-mana jumlah yang lebih tinggi, dan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun,” kata notis itu.

Notis tersebut disiarkan dalam iklan bertarikh 18 Disember oleh SPRM dalam media tempatan.

Sementara itu, menurut laporan Channel News Asia (CNA) yang berpangkalan di Singapura memetik eksekutif kewangan yang rapat dengan Daim berkata bahawa rampasan itu dilakukan pada Khamis selepas keengganan Daim untuk menyerahkan petisyen SPRM untuk mengisytiharkan pegangan kewangannya dan keluarganya.

Menara Ilham, dibina dengan anggaran kos AS$580 juta (RM2.7bilion) terletak di kawasan komersial dan hartanah kediaman bertingkat tinggi di sekitar KLCC.

Pada Mei tahun ini, SPRM berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat membabitkan dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion oleh seorang bekas menteri dan ahli perniagaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat