Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham memohon maaf dan menarik balik saranannya supaya kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-undang Islam.
Wakil rakyat DAP itu menjelaskan beliau tidak mempunyai niat untuk mencampuri hal ehwal Islam dan hanya menyatakan cadangan supaya semua pandangan diambil sebelum sebarang perlembagaan dipinda.
“Sekarang sudah jelas jawatankuasa khas itu ditubuhkan di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia diketuai Sultan Selangor yang tidak saya sedari sebelum ini.
“Saya dengan ini menarik semula cadangan tersebut dan membuat permohonan maaf dan saya tiada niat untuk mencampuri urusan hal ehwal agama Islam,” kata Ngeh yang juga penasihat DAP Perak.
Ngeh mencadangkan pakar dari kalangan bukan Islam dilantik ke dalam jawatankuasa khas untuk mengkaji kompetensi DUN bagi menggubal undang-undang Islam.
Menurut Berita Harian, Ahli Parlimen Beruas ketika mencadangkan pelantikan itu menjelaskan ia agar jawatankuasa tersebut dapat mengambil kira pandangan orang bukan Islam supaya hak dan perlindungan yang diberikan Perlembagaan tidak terjejas.
Jawatankuasa itu bertanggungjawab mengkaji isu-isu melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan negeri, khususnya berkaitan kompetensi DUN mengenai penggubalan undang-undang Islam serta bidang kuasa mahkamah, sebagaimana diperuntukkan Perlembagaan.
Bagaimanapun, cadangan pemimpin DAP itu mendapat bantahan keras daripada pemimpin UMNO dan pembangkang yang menganggap beliau cuba mencampuri urusan hal ehwal Islam.
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata cadangan Ngeh itu suatu kekhilafan, dan partinya menghormati kebijaksanaan Sultan Selangor selaku pengerusi MKI dalam membuat keputusan.
Sultan Sharafuddin Idris Shah memohon agar orang politik khususnya yang bukan beragama Islam untuk tidak mencampuri urusan hal ehwal Islam.
Baca juga: