Aset Raja Dadah bernilai RM11.4 juta dirampas

Seorang lelaki warga tempatan yang digelar sebagai raja dadah berjaya ditahan polis Laos selepas dikatakan bersembunyi di negara itu pada 29 Disember lalu.

Suspek yang berusia 39 tahun itu dikatakan terlibat dalam penyeludupan dadah ditahan dalam operasi bersama Thailand-Loas minggu lalu.

Penolong Ketua Polis Negara, Pol Lt Jen Panurat Lakboon berkata, Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) sudah melakukan siasatan terhadap lelaki itu yang disyaki sebagai dalang utama dalam membekal dan menyelaras aktiviti dadah di kawasan Segitiga Emas sejak 2006.

“Suspek terlibat dengan rangkaian dadah di seluruh Thailand, Malaysia, China, Singapura dan Laos. Dia juga menggunakan Thailand untuk aktiviti pengubahan wang haram dan sebagai tempat transit penyeludupan dadah ke negara ketiga seperti Malaysia, Taiwan dan Australia.

“Penahanan itu adalah hasil siasatan berterusan dan kerjasama rapat antara agensi penguatkuasa Thailand, Malaysia dan Laos,” katanya dalam satu kenyataan.

Pasukan penyiasat mengenal pasti lelaki itu sebagai suspek utama di sebalik rampasan dadah pada Jun tahun lalu, membabitkan 998 kilogram methamphetamine kristal dan penahanan tujuh suspek di wilayah Ratchaburi.

Waran tangkap kemudiannya dikeluarkan terhadap suspek pada Ogos tahun yang sama.

Aset suspek kemudian dirampas pihak berkuasa Thailand termasuk sebidang tanah dengan bangunan, dua kondominium, tiga kapal layar, dua kereta, tiga motosikal, senjata api, wang tunai dan barangan berharga lain di seluruh Bangkok, Trat, Chiang Rai dan Chon Buri.

Untuk info, jumlah anggaran nilai aset yang dirampas adalah 85 juta baht (RM11.4 juta).

Baca juga: