Jemaah umrah meningkat 58 peratus tahun lalu

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Al-Rabiah menyatakan jumlah umat Islam yang hadir menunaikan umrah pada tahun lalu meningkat sebanyak 58 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ia merupakan rekod terbaharu dengan jumlah seramai 13.55 juta orang, meningkat lebih lima juta berbanding tahun 2019.

Tawfiq berkata sedemikian ketika berucap di Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Haji dan Umrah di Jeddah Superdome, Arab Saudi.

Persidangan selama empat hari itu disertai oleh menteri dan pemimpin dari 80 negara.

“Persidangan ini juga menyaksikan pemeteraian perjanjian haji dengan setiap negara yang mengambil bahagian.

“Lebih 35 syarikat akan menyediakan perkhidmatan mereka sepanjang tempoh haji tahun ini, berbanding 20 syarikat pada tahun lalu,” katanya.

Pihaknya juga berusaha pada tahun lalu melatih lebih 40,000 pekerja dalam sistem haji dan umrah dan tahun ini melatih lebih 120,000 orang untuk berkhidmat kepada jemaah haji.

Tawfiq turut menambah Arab Saudi melancarkan projek bernilai lebih lima bilion riyal untuk membangunkan infrastruktur di tanah suci itu.

Beliau juga memaklumkan, ekspatriat dari semua negara Teluk juga dibenarkan mengeluarkan visa elektronik untuk melawat negara itu dan menunaikan umrah.

Baca juga: