FAM sumbang RM99,845 kepada Perhilitan demi kelestarian Harimau Malaya

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyerahkan sumbangan bernilai RM99,845 kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk Tabung Selamatkan Harimau Malaya pada Jumaat.

Tabung berkenaan merupakan inisiatif Perhilitan untuk memulihara spesis Harimau Malaya yang kian terancam dan semakin pupus.

Menteri KBS, Hannah Yeoh, berkata, kolaborasi itu secara tidak langsung membuktikan kesungguhan dua organisasi berkenaan dalam memulihara haiwan yang menjadi ikon Malaysia.

“Ini satu bukti konklusif di mana kedua-dua organisasi sangat menitikberatkan hidupan liar khususnya Harimau Malaya yang merupakan haiwan ikonik Malaysia yang kini kian terancam.

“Ini adalah satu misi yang izhar buat FAM dan KBS dalam pemuliharaan harimau Malaya,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jumlah sumbangan tersebut dikumpul melalui jualan tiket daripada tiga perlawanan antarabangsa melibatkan pasukan Harimau Malaya yang berlangsung pada bulan Oktober dan November 2023.

Setiap RM1 daripada penjualan tiket tersebut disumbangkan kepada tabung berkenaan.

Hannah Yeoh hadir bagi menyaksikan penyerahan mockup cheque FAM kepada Perhilitan.

Turut hadir, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusof Mahadi dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi Perhilitan, Datuk Hasnan Yusop.

Untuk info, jumlah keseluruhan sumbangan kepada tabung ini setelah dilancarkan pada Mac 2023 ialah RM131,408.00 daripada enam perlawanan antarabangsa Harimau Malaya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat