Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Johor menahan sembilan warga asing dalam serbuan di sebuah tapak semaian di Iskandar Puteri, Johor, pada Isnin.
Dalam Ops Hijau yang dijalankan pada pukul 10.40 pagi itu, pihak Imigresen menahan warga asing yang disyaki tidak mempunyai permit yang sah dan tinggal melebihi masa di Malaysia.
Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir, berkata pasukan dari Bahagian Penguat Kuasa jabatan itu membuat serbuan di kawasan tersebut selepas menerima aduan dari orang awam.
“Seramai 26 orang warga asing diperiksa dalam operasi itu dan lapan lelaki dan seorang wanita dalam lingkungan umur 28 hingga 48 tahun diberkas.
“Tujuh daripada mereka yang ditahan merupakan warga Indonesia termasuk seorang wanita, manakala dua daripadanya merupakan lelaki warga Myanmar,” katanya dalam kenyataan, menurut laporan Berita Harian.
Tambahnya, warga asing tersebut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Mereka yang ditahan turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi masa di Malaysia.
Dalam pada itu, pihak Imigresen turut memberi notis kepada seorang lelaki tempatan untuk hadir ke pejabat Imigresen Johor bagi membantu siasatan.
Baca juga: