Dua rakyat Malaysia mengaku bersalah atas pertuduhan bersubahat dalam insiden pengeboman Bali tahun 2002 pada Selasa di Teluk Guantanamo, Cuba.
Tertuduh, Mohammed Farik Amin, 48 dan Mohammed Nazir Lep, 47, didakwa pada 2021, 18 tahun selepas mereka ditahan di Thailand.
Hukuman terhadap kedua-dua tertuduh akan dijatuhkan pada minggu depan.
Kedua-dua defendan telah ditahan selama bertahun lamanya dalam rangkaian penjara luar negara rahsia Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA).
Mereka kemudiannya dipindahkan ke Teluk Guantanamo pada tahun 2006 untuk menghadapi perbicaraan di mahkamah khas keselamatan negara di sana.
Turut didakwa, Encep Nurjaman yang turut dikenali sebagai Hambali, yang merupakan warga Indonesia dan bekas pemimpin gerakan Jemaah Islamiyah.
Namun, New York Times melaporkan pada Oktober tahun lalu, Mohammed Farik dan Mohammed Nazir telah mencapai persetujuan untuk tuduhan menjadi ‘aksesori’ kepada serangan pengganas di Bali.
Persetujuan bersama pendakwa raya di Teluk Guantanamo tersebut telah membawa kepada kes berkenaan diasingkan daripada kes Hambali.
Hambali kini menghadapi pertuduhan membunuh, melakukan keganasan dan konspirasi dalam insiden yang berlaku pada tahun 2002 dan 2003 itu.
Jika disabitkan bersalah, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup.
Dalam pada itu, Mohammed Farik dan Mohammed Nazir bersetuju untuk memberi keterangan terhadap Hambali dalam pengakuan bersalah tersebut.
Sebelum ini, kedua-dua mereka didakwa pada tahun 2018 dengan sembilan kesalahan yang dikaitkan dengan pengeboman kelab malam dan hotel di Bali masing-masing pada tahun 2002 dan 2003.
Insiden pengeboman kelab malam tersebut mengorbankan 202 nyawa, manakala pengeboman hotel telah meragut 11 nyawa.
Baca juga: