Kelantan FC ‘tak join’ Liga Super

Kelantan FC tidak akan menyertai saingan Liga Super musim 2024-2025 selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menolak rayuan kelab itu bagi Lesen Kebangsaan.

Pengerusi Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB) Mohamad Yasin Abdullah berkata, keputusan itu dibuat setelah mesyuarat diadakan pada Selasa.

“Ia selaras dengan Artikel 3.4.4 yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023.

“Keputusan ini diumumkan kepada pasukan melalui makluman rasmi, maka Kelantan tidak layak untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim ini,” katanya dalam kenyataan.

Kelantan FC sebelum ini mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa AB berikutan keputusan First Instance Body (FIB) yang menolak permohonan pelesenan tersebut kerana masalah kewangan.

Sebelum ini, Pengerusi FIB Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif mengumumkan bahawa Kelantan tidak layak untuk bertanding dalam Liga Super kerana gagal memperoleh Lesen Kebangsaan sebelum tarikh akhir, iaitu pada 31 Disember 2023.

Ia diputuskan begitu kerana skuad The Red Warriors (TRW) gagal melengkapkan dua Kriteria Kewangan di bawah subkriteria F.04 dan subkriteria F.11 sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Kriteria di bawah subkriteria F.04 menyatakan No Payables Overdue Towards Employees, LHDN, KWSP, PERKESO & EIS sehingga Jun.

Subkriteria F.11 pula menyatakan mengenai No Payables Overdue Towards Employees, LHDN, KWSP, PERKESO & EIS sehingga Ogos.

Skuad TRW yang dibelenggui masalah kewangan sebelum ini menamatkan saingan Liga Super 2023 pada kedudukan tercorot dalam kalangan 14 pasukan yang bertanding.

Skuad berkenaan dapat mengumpul lapan mata selepas tewas dalam 22 perlawanan dan masing-masing meraih dua keputusan menang dan seri.

Baca juga: