Lima lelaki ditahan pihak polis dan merampas satu juta batang rokok bernilai RM750,000 termasuk cukai menerusi Op Kontraban dalam dua serbuan berasingan di Kota Bharu, pada Sabtu.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kesemua suspek yangditahan itu berusia antara lingkungan 20-an hingga 59 tahun.
Menurutnya, polis menahan tiga lelaki dalam sebuah kereta jenis Perodua Kembara di hadapan kedai di Simpang Empat Kampung Pauh Panji di sini, pukul 3.45 pagi.
“Susulan itu, polis membuat pemeriksaan ke atas sebuah lori jenis Toyota dan menjumpai 300,000 batang rokok putih bernilai RM225,000 dipercayai tidak bercukai.
“Kesemua rokok, sebuah lori jenis Toyota dan sebuah kereta jenis Perodua Kembara dirampas.
“Soal siasat ke atas ketiga-tiga suspek membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki yang bertindak sebagai ‘pointer’ bagi kegiatan ini,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini, hari ini.
Menurutnya, pada pukul 3.30 petang hari yang sama, bertindak di atas maklumat pihak polis menahan seorang lelaki berusia lewat 20-an di Kampung Panji.
Katanya, hasil soal siasat ke atas suspek itu membawa pihak polis kepada penemuan sebuah lori jenis Isuzu dan hasil pemeriksaan menjumpai lebih kurang 700,000 batang rokok putih bernilai anggaran RM525,000.
“Siasatan awal mendapati kesemua rokok keseluruhan bernilai RM750,000 termasuk cukai yang dirampas dipercayai diseludup masuk ke negara ini untuk pasaran di dalam negara.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau boleh dikenakan penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Menurutnya, kejayaan tangkapan dan rampasan ini hasil pendekatan yang digunakan polis Kelantan melalui kawalan di lapisan kedua menerusi Ketua Polis Daerah dengan penugasan risikan dan rondaan di kawasan sempadan.
Harian Metro melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan atau aktiviti mencurigakan untuk menyalurkan maklumat kepada mana-mana balai polis yang berhampiran.
Baca juga: