Lelaki goda isteri orang boleh didakwa di Sabah

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Exco Hal Ehwal Agama Islam Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif berkata, lelaki Islam yang menggoda isteri orang boleh dikenakan tindakan atas kesalahan tersebut di Sabah.

“Kesalahan tersebut terpakai sejak sekian lama membabitkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Sabah 1995.

“Terdapat peruntukan undang-undang yang mengawal perbuatan gangguan orang ketiga terhadap rumah tangga di dalam Islam termasuklah Seksyen 36, Seksyen 37 dan Seksyen 38 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan,” katanya, lapor Berita Harian.

Mohd Ariffin turut berkata, kesalahan ini terbahagi kepada tiga komponen termasuk memujuk lari perempuan bersuami, menghalang pasangan suami isteri hidup bersama dan menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan.

“Namun, ketiga-tiga komponen ini hanya terdapat dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan dan ia tidak diperuntukkan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Sabah 1995.

“Menerusi enakmen ini, sudah dinyatakan sesiapa yang melarikan atau menyebabkan seseorang isteri orang lain meninggalkan rumah tangga yang ditentukan oleh suaminya adalah bersalah atas suatu kesalahan dan apabila disabitkan, lelaki Islam berkenaan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Mohd Arifin berkata, mengenai ini ketika ditemui media pada kunjungan hormat dan lawatan rasmi pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor di Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah pada Selasa.

Turut hadir, Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah dan Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, Papparaidu Veraman.

Baca juga: