PM umum bayaran STR Fasa 1 mulai Isnin

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 mulai Isnin (29 Januari 2024) kepada 8.2 juta rakyat Malaysia.

Bayaran Fasa 1 ini akan diberikan kepada penerima yang berdaftar dalam pangkalan data STR dengan status permohonan lulus.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan pada Jumaat, peruntukan bagi bayaran Fasa 1 tersebut juga menunjukkan peningkatan sebanyak 26 peratus sebanyak RM2.1 bilion daripada RM1.67 bilion tahun lepas.

Anwar turut menyatakan beliau komited untuk mengurangkan beban kos sara hidup yang membelenggu rakyat, maka peruntukan bantuan tersebut dinaikkan untuk manfaat semua.

“Setiap kali saya bertemu dengan rakyat, keluhan utama yang sering saya dengari ialah beban kos sara hidup maka saya akan memastikan bantuan kerajaan dipertingkatkan lagi agar masalah ini dapat dileraikan.

“Kerajaan akan mengutamakan isi rumah yang berpendapatan rendah terus diberi bantuan selayaknya, selaras dengan pendekatan Ekonomi MADANI,” katanya, yang juga merupakan Menteri Kewangan, dalam kenyataan.

Pembayaran STR Fasa 1 akan dikreditkan ke akaun bank penerima atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kelayan STR masing-masing.

Kadar bayaran Fasa 1 ini terbahagi kepada empat kategori termasuk isi rumah berpendapatan kurang dari RM2,500 layak menerima RM500 dan isi rumah berpendapatan lebih dari RM2,500 tetapi kurang daripada RM5,000 akan menerima RM100 hingga RM300.

Bagi golongan warga emas yang tidak mempunyai pasangan, mereka akan menerima bantuan sebanyak RM150 dan kategori bujang akan menerima RM100.

Semakan status kelayakan STR dan soalan lazim (FAQ) boleh didapati di Portal Rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my atau https://manfaat.mof.gov.my/.

Baca juga: