Tindakan tentera Israel yang menggali bahagian permukaan tanah perkuburan di Bani Suheila, Khan Younis di Gaza disifatkan melampau selain mendakwa terdapat terowong pejuang Hamas dan laluan yang digunakan untuk menyerang pasukan mereka.
Bagi membuktikan dakwaan itu, pasukan tentera Israel memanggil media antarabangsa, CNN kononnya untuk membuat pendedahan terhadap perkara tersebut.
Bagaimanapun, setelah tiga jam membuat tinjauan di kawasan perkuburan terbabit, malangnya tentera Israel tidak menemukan sebarang bukti bagi mengukuhkan tuduhan mereka.
Komander Divisyen ke-98 IDF, Brigadier General Dan Goldfuss berkata, terowong tersebut dilengkapi dengan sistem pendawaian elektrik dan komunikasi pejuang Hamas.
“Hampir kesemua kawasan ini telah berlakunya tanah runtuh, dan anda perlu berjalan mengikut laluan yang dikhaskan sahaja.
“Bagaimanapun terdapat beberapa peralatan bahaya dan struktur yang tidak stabil membuatkan kami tidak dapat untuk menunjukkan kepada anda di mana terowong berkenaan,” katanya.
Komender tentera itu bagaimanapun tidak dapat membuktikan kesahihan kewujudan terowong terbabit dengan mendakwa struktur binaan yang berbahaya mampu mengancam nyawa.
Dalam pada itu, pihak mereka turut menunjukkan bahagian dua pintu terowong, namun kawasan tersebut bukan berada di kawasan tanah perkuburan berkenaan.
Menurut undang-undang antarabangsa, serangan yang disengajakan ke atas tanah perkuburan merupakan salah satu jenayah perang, kecuali kawasan tersebut dijadikan tapak ketenteraan.
Sekurang-kurangnya 16 perkuburan di Gaza dimusnahkan oleh Israel sejak tercetusnya peperangan antara mereka.
Baca juga: