Azizulhasni raih pingat emas acara Keirin

Datuk Azizulhasni Awang atlet yang merupakan atlet bertaraf dunia sekali lagi menjulang nama negara, apabila meraih pingat emas dalam acara keirin di Piala Negara-Negara Berbasikal Trek UCI di Adelaide, Australia pada Ahad.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu mengerah segala kudrat yang ada pada pusingan akhir The Adelaide Super-Drome untuk tiba di garisan penamat, walaupun pada permulaan pecutan dikuasai oleh Jack Carlin (Great Britain) dan Matthew Richardson (Australia).

Lebih menarik dua pelumba Jepun yang hanya menunggu peluang sehingga ke pusingan akhir berjaya mengakhiri perlumbaan di belakang Azizulhasni apabila Nakano meraih perak, manakala Kaiya Ota yang mewakili Rakute K Dreams, gangsa.

Azizulhasni yang juga juara dunia 2017, bermula dengan cemerlang sejak pusingan pertama apabila dia muncul juara saringan keempat mengetepikan Matthew Glaetzer (Australia), Matej Bohuslavek (Republik Czech), Yuta Obara (Jepun) dan Andrey Chugay (Kazakhstan).

Dalam aksi pusingan kedua (separuh akhir), dia juga tidak berdepan masalah untuk menempatkan diri dalam kalangan tiga pelumba terbaik bersama Richardson dan Xue Chenxi (China) untuk menempah slot ke final.

Kejayaan Azizulhasni yang juga terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman itu mengukuhkan lagi kedudukan untuk mengumpul mata melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Sebelum ini, Pengarah Teknikal sukan berbasikal negara, John Beasley mendedahkan Azizul perlu mengambil ubat perikarditis yang berkaitan dengan jantungnya sejak beberapa minggu lalu.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Fadhil Zonis yang mewakili Team Azizul terkandas di repechage saringan pertama selepas gagal menamatkan perlumbaan akibat terbabit dalam kemalangan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat