Sebanyak 124 kes melibatkan kerugian Lebih RM90 juta membabitkan skim penipuan pelaburan kripto

Sebanyak 124 kes diterima oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melibatkan penipuan pelaburan mata wang kripto yang dikenali sebagai Accerx sejak November, 2023 membabitkan kerugian berjumlah RM90,364,463.08.

Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Rohaimi Md Isa berkata, pihaknya berjaya mengenal pasti 73 syarikat atau organisasi perniagaan bersamam 83 akaun bank milik syarikat/perniagaan dan satu akaun bank individu persendirian. yang digunakan dalam kegiatan penipuan sindiket itu.

“Antara lain seorang individu berusia 24 tahun yang berperanan sebagai pemilik akaun keldai tealh berjaya dituduh di mahkamah melibatkan satu kes di Keningau, Sabah.

“Pertuduhan dibuat pada 3 Januari lalu di bawah Seksyen 22A(1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil (Sabah),” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, mangsa seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun mengalami kerugian sebanyak RM11,130,123 setealh menyertai skim pelaburan Accerx.

“Angka itu sekali gus mencatat jumlah kerugian tertinggi (bagi satu kes) setakah ini,” katanya.

Pada September. 2023, seorang pengarah syarikat mendakwa dirinya telah terpedaya dengan skim pelaburan mata wang kripto yang diiklankan di Facebook.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, Rohaimi menasihatkan agar orang awam tidak mudah terpedaya dengan skim pelaburan dalam talian, tanpa melakukan usul periksa.

“Orang ramai ingin terlibat dalam urus niaga mata wang kripto dinasihatkan untuk membuat semakan kesahihan exchanger yang menawarkan perkhidmatan tersebut melalui laman web www.coinmarketcap.com,” katanya.

Sebarang maklumat berkenaan kesahihan pelaburan mata wang kripto juga perlu dirujuk kepada agensi yang berkenaan termasuklah Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sukuriti.

Baca juga: