Seorang lelaki yang dipercayai bertindak memukul warga emas berumur 73 tahun di hadapan sebuah klinik swasta di Taman Tasik Puchong Prima, Putra Perdana, Sepang ditahan polis pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, lelaki warga emas yang juga seorang pesara telah membuat aduan mendakwa dirinya, dipukul ketika sedang dalam perjalanan memandu kereta dari Brickfield ke Putra Perdana.
“Semasa berada di Puchong Prima, pengadu telah dipikul oleh seorang lelaki Melayu tanpa sebab. Suspek dalam kejadian itu turut mengeluarkan perkataan; “Engkau ni bodoh, tak pandai bagi signal”.
“Suspek terus memukul pengadu pada bahagian muka, kepala dan bahagian rusuk,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pengadu membuat laporan polis pada 30 Januari.
Kemudian, beliau memberitahu, pengadu meneruskan perjalanan, bagaimanapun suspek dikatakan mengekori pengadu sehingga tiba di hadapan sebuah kedai bakeri.
“Kemudian pengadu telah disekat oleh suspek lalu sekali lagi ditarik dari kereta dan ditumbuk pada abahgian mata dan menendang pengadu secara bertubi-tubi.
Mangsa yang dalam keadaan cedera ditinggalkan di lokasi dan dibawa ke Hospital Serdang dengan menaiki ambulans.
“Berdasarkan hasil pemeriksaan doktor, pengadu mengalami kecederaan bengkak di kepala, lebam di bahagian mata kiri, patah tulang pipi kiri dan patah bawah tulang mata kiri.
“Pada 5 Februari lalu, tangkapan ke atas suspek telah dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sepang. Suspek merupakan seorang lelaki warganegara, berumur 25 tahun dan pekerjaan jenis berniaga sendiri.
“Suspek mempunyai tiga rekod jenayah yang membabitkan kesalahan dibawah Seksyen 395 KK, 160 KK dan 39A ADB. Permohonan reman telah dibuat ke atas suspek bagi membantu siasatan,” katanya lagi.
Kes disiasat dibawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman pemenjaraan selama tempoh yang boleh dikenakan tujuh tahun dan denda.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau menyaksikan kejadian ini boleh menyalurkan maklumat di balai polis yang berdekatan atau menghubungi IPD Sepang di talian 03-8774222 bagi membantu siasatan.
Baca juga: