PM ucap takziah kepada keluarga legenda bola sepak Azraai Khor

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga legenda bola sepak negara Mohd Azraai Khor Abdullah yang disahkan meninggal dunia selepas diserang strok pada Khamis.

Anwar berkata, Allahyarham disifatkan sebagai bekas pemain kebangsaan dan jurulatih disegani sekali gus mengenang jasa serta sumbangan Allahyarham terhadap sukan bola sepak negara, selain pernah membawa pasukan Kedah muncul juara double treble pada 2007 dan 2008.

“Moga keluarga Allahyarham sabar dan tabah menempuh dugaan ini.

“Dititipkan doa agar Allah SWT menempatkan Allahyarham dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya pada Khamis.

Allahyarham yang nama asalnya Khor Sek Leng merupakan bekas pemain Kedah era 1970-an dan pernah menyarung jersi skuad kebangsaan dari 1975 hingga 1978.

Azraai yang dianggap sebagai antara jurulatih disegani dalam kancah bola sepak Malaysia pernah membimbing beberapa pasukan termasuk Kedah, Harimau Muda A, Negeri Sembilan, T-Team dan Kelantan.

Baca juga: