2.97 juta individu selesai kemas kini maklumat dalam PADU

Seramai 2.97 juta rakyat Malaysia sudah mengemas kini dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) setakat jam 11.59 malam hari Isnin.

Menerusi satu hantaran di Facebook milik PADU, jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada 30.08 juta rekod individu dalam sistem PADU berdasarkan sumber data pentadbiran.

Dalam pada itu, Ketua Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menyeru agar masyarakat segera melakukan pendaftaran dan pengemaskinian maklumat mereka secepat mungkin.

“Sekiranya pendaftaran dan pengemaskinian dilakukan pada saat akhir, ia akan mengakibatkan trafik dalam laman web tersebut kerana terlalu ramai masuk dalam tempoh masa yang sama,” katanya ketika menjadi tetamu secara maya menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM.

Mohd Uzir turut menyifatkan PADU ini sebagai lonjakan baharu kepada sistem pengurusan statistik negara yang akan memberi manfaat kepada rakyat dan setiap pengumpulan maklumat negara dapat dilaksana secara berpusat dan bersepadu.

PADU dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pangkalan data yang diintegrasikan daripada pelbagai sumber agensi kerajaan.

Sistem itu dibangunkan untuk memberi rakyat manfaat yang sepatutnya diterima oleh mereka seperti subsidi bersasar, bantuan dan perlindungan sosial.

Ia dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan kerjasama dan sokongan pelbagai kementerian, agensi serta kerajaan negeri.

Baca juga:

https://malaysiabangkit.com/2024/02/12/masyarakat-kini-sakit-dan-tidak-rasa-malu-netizen-geram-tengok-hot-daddy-dilayan-macam-artis-no-1/

Anda Mungkin Berminat