Polis Melaka buru suspek cubaan samun ibu tunggal guna pedang samurai

Pihak polis memburu dua individu bersenjata yang melakukan cubaan samun di hadapan sebuah kedai dobi di Masjid Tanah, Melaka hingga mengakibatkan kecederaan terhadap seorang ibu tunggal, pada Rabu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Zainol Samah berkata, polis meneruskan siasatan dan menyeru orang ramai menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, kejadian berkenaan berlaku kira-kira 6.30 pagi ketika wanita berusia 36 tahun itu sedang memandu kereta ke tempat kerjanya.

“Dalam kejadian, kereta mangsa telah disekat sebuah kereta lalu dua lelaki bersenjatakan pedang samurai keluar daripada kereta itu menuju ke kereta mangsa.

“Dua individu berkenaan bertindak memecahkan tingkap kereta mangsa hingga menyebabkan mangsa mengundurkan keretanya hingga melanggar sebuah kenderaan lain.

“Mangsa kemudian bergegas ke Balai Polis Masjid Tanah untuk melaporkan kejadian berkenaan di samping menyedari tangan kirinya mengalami kecederaan parah,” katanya menerusi kenyataan.

Zainol berkata, wanita terbabit mendapat rawatan awal di Klinik Kesihatan Masjid Tanah sebelum dihantar ke Hospital Melaka.

“Hasil siasatan awal, mangsa mengatakan bahawa dia tidak mengenali suspek serta tidak bergaduh dengan sesiapa kebelakangan ini.

“Siasatan juga mendapati kereta milik mangsa mengalami kerosakan di cermin pintu hadapan kiri dan kanan serta di cermin hadapan selain terdapat kesan langgar di bahagian belakang,” katanya.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cuba rompak dan Seksyen 427 kanun sama kerana khianat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat