Lelaki bakar kereta polis bantuan prasarana telah berjaya ditahan

Kejadian kebakaran melibatkan sebuah kenderaan milik Polis Bantuan Prasarana yang di parkir di lokasi berhampiran stesen MRT Mutiara Damansara, Bandar Utama, Damansara Petaling Jaya pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohd Fakhrudin Abd Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian tersebut terus bergerak ke lokasi kejadian dengan sebuah unit Rondaan Motosikal (URB) dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya bersama sebuah jentera Bomba dan Penyelamat dari Damansara.

“Pasukan Bomba yang ditugaskan ke lokasi kejadian berjaya memadamkan kebakaran tersebut dalam tempoh masa 10 minit,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Fakhrudin dan pihaknya turut menerima laporan berkenaan suspek yang disyaki memulakan punca kebakaran sekali gus berjaya ditahan oleh sepasukan polis dari IPD Petaling Jaya dipercayai seorang lelaki warga tempatan dalam kawasan di Flat Flora Damansara.

“Hasil siasatan ke atas suspek yang terlibat mendapati suspek tiada rekod lampau manakala ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati positif dadah jenis Morphine.

“Selain itu, suspek juga sempat memuat naik video kebakaran tersebut yang berdurasi lima saat di dalam aplikasi TikTok dipercayai akaun milik suspek,” ulasnya.

Justeru itu, pihak polis telah membuka kertas siasatan dibawah Seksyen 435/427 Kanun Keseksaan Khianat Api dan turut merampas beberapa peralatan seperti tukul besi dan botol air yang bertujuan untuk mengisi petrol lalu digunakan dalam kebakaran kenderaan tersebut.

Motif kejadian masih dalam siasatan pihak polis dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes tersebut boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222.

Baca juga: