Lelaki maut motosikal langgar belakang lori di Rawang Bypass

Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar bahagian belakang lori di Jalan Rawang Bypass menghala ke Selayang pada Selasa. 

Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Noor Ariffin Mohamad Nasir, hasil siasatan mendapati mangsa, seorang lelaki warga tempatan berumur 28 tahun menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha R15 dari arah Serendah menghala ke Selayang.

“Ketika sampai di tempat kejadian, difahamkan mangsa telah melanggar bahagian belakang sebuah lori yang dipandu oleh seorang lelaki wagra tempatan berumur 29 tahun.

“Akibat kemalangan tersebut mangsa telah tercampak ke atas jalan dan telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Selayang,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, mayat mangsa telah dibawa ke bahagian forensik Hospital Selayang untuk dibedah siasat dan kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta untuk tampil dan membantu siasatan serta boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Suharman Che Musa di talian 019-6751 727 atau bilik gerakan IPD Daerah Gombak di talian 03-61262 222.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat