Lawatan rasmi PM eratkan hubungan baik Malaysia-Australia

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne Jet Base, pada pukul 10.45 malam waktu tempatan bagi lawatan rasmi sulungnya ke Australia pada Ahad.

Menurutnya, lawatan itu akan memperkukuh hubungan persahabatan Malaysia-Australia selain mencipta peluang dan manfaat yang terbaik untuk rakyat dan negara.

“Lawatan ini juga atas jemputan rakan sejawat saya Anthony Albanese yang mana ia akan melibatkan beberapa mesyuarat dan pertemuan penting, perbincangan meja bulat dan juga secara langsung dengan ketua-ketua industri di Melbourne, sebelum ke Canberra pada hari terakhir lawatan pada 7 Mac.

“Saya percaya lawatan ini akan mencatatkan satu perkembangan penting dalam kerjasama antara kedua-dua negara melalui platform dua hala dan pelbagai hala, sementelahan ia telah berkembang dari satu tahap ke satu tahap dan menjadi signifikan dengan penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) sejak 2021.

“Kita akan bekerja sepenuhnya dan memperkukuh hubungan persahabatan Malaysia-Australia selain mencipta peluang dan manfaat yang terbaik untuk rakyat dan negara,” katanya menerusi hantaran Facebook rasminya.

Difahamkan, Anwar juga akan mengetuai delegasi Malaysia ke dua program utama iaitu Mesyuarat Pemimpin Tahunan Malaysia-Australia dan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia.

Turut hadir dalam lawatan kerja tersebut ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat