Malaysia, New Zealand sepakat jalin kerjasama dalam bidang pertanian dan keselamatan makanan

Kerajaan Malaysia dan New Zealand sepakat untuk menjalinkan kerjasama yang jitu terhadap pelbagai sektor yang lebih meluas untuk mencapai situasi menang-menang bagi kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kerjasama ini akan lebih fokus kepada sektor pertanian, keselamatan makanan, tenaga boleh diperbaharui serta belia dan sukan.

Beliau menyatakan hasil jalinan kerjasama berkenaan ketika bertemu dengan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon di Melbourne, Australia.

Dalam pada itu, Anwar turut menyatakan kesepakatan antara Malaysia dan New Zealand dalam menuntut gencatan senjata secepat mungkin dalam krisis kemanusiaan di Palestin.

“New Zealand juga menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas sokongan berhubung insiden serangan di Masjid Christchurch beberapa tahun lalu,” tambahnya.

Untuk info, Anwar mengadakan lawatan rasmi ke Australia bermula Ahad lalu untuk mengetuai delegasi Malaysia ke dua program utama iaitu Mesyuarat Pemimpin Tahunan Malaysia-Australia dan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia.

Anwar turut ditemani isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah yang dijadualkan berakhir pada 7 Mac.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat