Aktif jenayah samun, polis berjaya tumpaskan Geng Alif

Polis menumpaskan Geng Samun Alif dalam kejadian samun membabitkan sebuah ladang ternakan ayam di Kampung Timah, Bukit Beruntung, Hulu Selangor pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, semua suspek terdiri daripada tiga lelaki tempatan ditahan menerusi serbuan di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Rawang, pada pukul 4.10 pagi, hari yang sama

Tangkap layar daripada kenyataan polis tentang barang rampasan unutk kes samun.

“Hasil serbuan polis berjaya merampas sepucuk pistol angin, tiga motosikal, pakaian, kasut, dua topi keledar dan dua telefon bimbit.

“Turut dirampas adalah rangkai dan batang anak kunci serta beg penghantar makanan Grab Food,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Asri berkata, semua suspek berusia 29 hingga 38 tahun selain mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.

Selain itu, pihak polis menjalankan ujian saringan air kencing dan mendapati kesemua suspek adalah positif dadah jenis syabu.

Tambahnya lagi, suspek direman selama tujuh hari bermula 6 Mac sehingga 12 Mac untuk siasatan lanjut.

Untuk makluman, kes akan disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Jelasnya lagi, dengan tangkapan kesemua suspek, pihak polis telah berjaya menyelesaikan kes samun ini sekali gus meningkatkan kepercayaan serta keyakinan masyarakat.

Baca juga: