Perasaan tidak puas hati akibat menunggu terlalu lama bagi membatalkan proses pembalian barangan di pasar raya menjadi punca seorang pelanggan wanita menumbuk muka juruwang hamil.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat, mangsa berumur 25 tahun telah membuat laporan polis pada 9 Mac yang mengatakan dia telah dikasari hingga mengalami kesakitan dan bengkakp pada bahagian bawah mata kiri akibat ditumbuk.
“Dalam pada itu, suspek juga telah membuat laporan pada 10 Mac untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Raub berkata, pihaknya menerima rakaman video yang tular memaparkan pertelingkahan antara kedua-dua wanita berkenaan pada pukul 11.19 pagi.
Video berkenaan turut memaparkan seorang wanita memukul muka sebelah kiri mangsa dengan menggunakan tangan dan kemudian meninggalkan premis.
Berdasarkan maklumat dikongsikan mangsa, kejadian berlaku sewaktu membuat pembayaran yang mana pelanggan mahu memulangkan barang yang dibelinya, namun dia meminta pelanggan terbabit menunggu kerana pembelian itu sudah dimasukan ke dalam sistem.
Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih setahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Polis turut menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini menghubungi terus ke talian 07-218 2323 IPD Johor Bahru Selatan.
Baca juga: