Seramai 63 warga asing ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor dipercayai tidak mempunyai permit yang sah untuk bekerja dalam satu operasi yang dijalankan pada 13 hingga 17 Mac lalu melibatkan 26 permis sekitar Johor Bahru.
Pengarah Imigresen Negeri Johor, Baharuddin Tahir berkata, warga asing yang ditahan terdiri daripada 52 orang lelaki dan 11 perempuan pelbagai etnik dalam lingkungan umur 3 hingga 61 tahun.
“Mereka yang ditahan merupakan warganegara daripada pelbagai negara termasuk Nepal, India, Bangladesh, Pakistan, Indonesia, Filipina dan Myanmar.
“Tangkapan tersebut turut menahan dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan.
Tangkapan ini dilakukan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.
Baharuddin turut berkata tindakan operasi tersebut diambil setelah mendapat aduan dan menerima maklumat dari orang awam yang menyatakan terdapat warganegara asing yang tinggal dan bekerja tanpa permit yang sah di premis yang digempur.
JIM turut berkata mereka akan mempergiatkan lagi usaha sebegini dari semasa ke semasa untuk membanteras isu pembanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri tersebut.
Baca juga: