Seorang lelaki disahkan meninggal dunia selepas kenderaan yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Elkay 4, Kawasan Perindustrian Jasin, Melaka pada Selasa.
Jabatan Bomba Dan Penyelamat Negeri Melaka menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.25 pagi melalui talian MERS999 tentang kemalangan jalan raya yang berlaku.
Menurut Komander Operasi, Mohd Iskandar Ismail pasukan bomba daripada BBP Jasin Bestari seramai 7 orang telah bergegas ke lokasi kejadian bersama jentera FRT dan kenderaan Unit EMRS sejurus selepas menerima panggilan.
“Terdapat seorang lelaki dewasa berusia 48 tahun iaitu pemandu kereta Proton Wira telah tersepit apabila kenderaan dinaiki terperosok di bawah lori tanah tersebut.
“Pasukan Bomba bertindak menjalankan operasi penyelamatan bagi mengeluarkan mangsa daripada kenderaan,” katanya.
Tambahnya lagi, setelah berjaya dikeluarkan, pegawai perubatan daripada KKM telah mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya.
Baca juga: