KKM kompaun peniaga martabak ‘inti’ cebisan kain

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenakan kompaun kepada gerai yang menjual martabak yang mengandungi cebisan kain di Bazar Ramadan Desa Pandan, Kuala Lumpur.

Pihak KKM bertindak susulan tular satu hantaran di media sosial yang mendakwa dirinya membeli martabak tersebut dan menjumpai cebisan kain di dalamnya ketika hendak memotong martabak tersebut.

Menerusi kenyataan pada Rabu, pihak KKM menyatakan notis kompaun tersebut dikeluarkan dibawah Peraturan 32(1)(b) Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Peniaga makanan yang didapati tidak mematuhi peraturan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Melalui pelaksanaan pemantauan dan penguatkuasaan yang berterusan, KKM ingin menegaskan bahawa tahap keselamatan dan kualiti makanan sepanjang Ramadan adalah terkawal,” kata kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, KKM menyatakan pihak mereka sentiasa prihatin dengan keselamatan makanan yang dijual di bazar Ramadan dan sehingga kini, sebanyak 10,570 buah premis di bazar Ramadan telah diperiksa.

KKM turut menyeru pengguna untuk mengutamakan keselamatan makanan yang dibeli sebagai juadah berbuka dengan menggunakan konsep ‘perhati dan pilih’ dan ‘lihat, hidu, rasa’ sebelum membeli juadah yang diingini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat