Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam untuk menghayati bait-bait kata dalam al-Quran sempena memperingati peristiwa Nuzul Al-Quran yang jatuh setiap 17 Ramadan.
Anwar turut menegaskan bahawa umat Islam harus mengambil iktibar daripada sejarah yang diceritakan didalam Al-Quran kerana penghayatannya bukan hanya khusus kepada orang beriman, malah buat semua umat manusia.
“Mesej Al-Quran itu seharusnya lebih ditekankan kerana Al-Quran itu hidup, berbicara dan menjadi suluhan dalam tiap kurun sejarah dan pengajaran yang terpancar dari firman Ilahi tidak dilorongkan khusus buat orang beriman, sebaliknya ia adalah petunjuk buat seluruh umat manusia.
“Tiap mauduk perbahasan, tiap kisah dan riwayat, baik kisah pemuda al-Kahfi atau kisah Nabi Allah Yusuf AS, kesemuanya sarat dengan roh perjuangan dan iktibar yang mendalam,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau juga mengajak orang ramai untuk memahami tafsir Al-Quran, terutamanya melalui penulisan ahli falsafah Indonesia, Buya Hamka yang mentafsirnya melalui konteks sosio-budaya masyarakat serantau, kekuatan dan lenggok bahasa yang mantap serta bersandarkan ilmu tradisional yang diolah dengan pengetahuan falsafah dan ilmu moden semasa.
“Penghayatan mesej hikmah Al-Quran akan mendidik kita menjadi insan yang bertaqwa, berakhlak mulia, adil dan sederhana dalam segenap perkara,” ujarnya.
Dalam pada itu, Anwar turut mengucapkan selamat memperingati peristiwa Nuzul al-Quran buat umat Islam yang menyambutnya setiap bulan Ramadan.
Baca juga: