Seorang pelajar kolej vokasional maut dalam kemalangan melibatkan sebuah lori dan dua motosikal di Kilometer 60.9, Lebuhraya Utara Selatan arah Utara di daerah Kluang, Johor pada pukul 9 malam, Rabu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan berpunca apabila pemandu lori jenis Hino berkenaan menukar ke lorong kanan dan melanggar dua penunggang motosikal yang masing-masing menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135.
“Disebabkan pelanggaran itu, salah seorang penunggang motosikal tersebut cedera parah di kepala dan meninggal di tempat kejadian manakala seorang lagi penunggang motosikal mengalami cedera parah di kepada dan badan.
“Mangsa yang cedera parah telah dikejarkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang dan masih menerima rawatan di zon merah sehingga kini.
“Kedua-dua mangsa merupakan pelajar di Kolej Vokasional Kluang,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Bahrin turut berkata pemandu lori yang tidak mengalami sebarang kecederaan tersebut ditahan untuk siasatan lanjut dan ujian saringan air kencing pemandu tersebut mendapati dia negatif dadah.
Kes kemalangan tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis menasihatkan pengguna jalan raya untuk berwaspada sentiasa agar dapat mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
Baca juga: