Negeri

Bayi 7 bulan rentung kereta dipandu orang tua rempuh tiang lampu

Seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan rentung selepas kenderaan yang dinaiki bersama ibu bapanya melanggar tiang lampu dan terbakar di Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Kelantan awal pagi Isnin.

Mangsa, Wan Sabeena Arisha Wan Shahrizat ditemukan rentung berhampiran kereta Honda Jazz berkenaan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Krai menerima panggilan kecemasan pada jam 4.04 pagi memaklumkan tentang kemalangan jalan raya yang berlaku di hadapan bangunan sebuah bank di Kuala Krai.

Pasukan Bomba daripada BBP Kuala Krai dan BBP Sungai Durian telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik panggilan diterima.

Menurut Pegawai Operasi, PBK II Mohd Fadzil Musa, kemalangan itu melibatkan sebuah kereta jenis Honda Jazz yang telah terbabas dan melanggar tiang lampu sebelum terbakar.

“Seorang lelaki, Wan Shahrizat Azwan Wan Shahril, 28, cedera parah akibat melecur seluruh tubuh, manakala isterinya, Nur Hasidah Razmi, 25, pula cedera ringan.

“Anak mereka berusia tujuh bulan dijumpai rentung berhampiran kereta terbabit,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, pada Isnin.

Bayi tersebut kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Suzaimi Mohamad, mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian dan kes sedang disiasat.

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close