182,666 kes babit sekatan perjalanan ke luar negara atas kesalahan tunggakan cukai

Sebanyak 182,666 kes sekatan perjalanan ke luar negara telah dilaksanakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) terhadap individu yang mempunyai tunggakan terhadap cukai termasuk cukai pendapatan dan cukai keuntungan harta tanah.

Perkara tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying yang menjawab soalan Senator Datin Ros Suryati Alang mengenai statistik bilangan kes sekatan perjalanan yang diambil oleh LHDNM kepada individu yang gagal melunaskan bayaran cukai.

“Sebelum tindakan sekatan perjalanan dikuatkuasakan, pihak LHDNM akan melaksanakan tindakan awal termasuk menghantar beberapa surat peringatan dan menghubungi telefon pembayar cukai yang terlibat.

“Sekiranya pembayar cukai masih gagal untuk membayar selepas tindakan tersebut dilakukan, barulah mereka disekat perjalanannya ke luar negara,” katanya.

Lim turut mengingatkan pembayar cukai untuk menyemak status tunggakan terlebih dahulu sebelum membuat perancangan ke luar negara untuk mengelakkan diri mereka daripada disekat di lapangan terbang.

Sekiranya mereka disekat di lapangan terbang, pihak Imigresen akan merujuk pembayar cukai kepada pegawai perhubungan awam LHDNM untuk membuat rundingan sekiranya kaedah penyelesaian tunggakan dipersetujui untuk membolehkan mereka ke luar negara.

Namun, kaedah yang mudah adalah mereka perlu menyemak status tunggakan cukai mereka di portal MyTax selain membuat semakan status sekatan perjalanan di laman web Jabatan Imigresen Malaysia.

Beliau menegaskan bahawa kaedah ini bukan bertujuan untuk menafikan hak sesiapa untuk bergerak, namun untuk memberi keadilan kepada pembayar cukai yang patuh sekali gus menjamin tidak berlaku ketirisan hasil negara.

Baca juga: