Lelaki maut, motosikal rempuh kenderaan pacuan empat roda di Penampang

Seorang penunggang motosikal dipercayai warga tempatan berusia 24 tahun meninggal dunia dalam nahas kemalangan melibatkan sebuah motosikal dengan kenderaan pacuan empat roda di Jalan Papar, Kota Kinabalu, Sabah pada Isnin.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang telah menerima maklumat mengenai kes kemalangan jalan raya pada pukul 6.57 petang dekat pusingan-U Bukit Vor.

Ketua Polis Daerah Penampang, Sammy Newton berkata, hasil siasatan awal pihak polis mendapati kenderaan pacuan empat roda itu dari jalan Kota Kinabalu telah membuat pusingan-u menuju ke Teluk Villa sebelum dilanggar oleh sebuah motosikal yang datang dari arah Putatan.

“Akibat daripada perlanggaran tersebut, mangsa telah tercampak bersama motosikalnya di bahu jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pembonceng motosikal merupakan seorang perempuan berusia 22 tahun turut mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 untuk rawatan lanjut.

“Manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Sammy, kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat untuk membantu siasatan.

Pihak polis juga menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu di jalan raya dan menyeru agar tidak menularkan sebarang imej atau klip video tempat kejadian bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat