Seorang maut, 4 cedera akibat dua kereta bertembung

Seorang mangsa kemalangan jalan raya disahkan meninggal dunia selepas kenderaan dinaiki bertembung dengan kenderaan lain di Teluk Intan, perak pada Ahad.

Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan, Mohd Rozali Uyop, dua buah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan merupakan jenis Proton Iswara dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Ford Ranger.

“Setibanya di lokasi kejadian, seorang mangsa iaitu pemandu Proton Iswara didapati tersepit dalam kenderaan itu. Mangsa telah dikeluarkan oleh pasukan bomba dengan menggunakan peralatan menyelamat.

“Namun, mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia. Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, empat mangsa lain yang menaiki kenderaan Ford Ranger kesemuanya mengalami kecederaan telah dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans KKM bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Operasi menyelamat melibatkan anggota bomba seramai 8 orang dari Balai Bomba Penyelamat Hutan Melintang bersama jentera FRT.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat