Ibu tunggal sudah lali buat persiapan raya sendirian

Hari Raya Aidilfitri adalah saat yang ditunggu-tunggu bagi semua umat Islam di seluruh dunia, di mana keluarga dan sahabat berkumpul untuk merayakan kemenangan setelah sebulan berpuasa.

Sudah tentu kebanyakan ibu bapa mulai sibuk menguruskan persiapan raya bukan sahaja buat mereka bahkan buat anak-anak yang turut menyambut bulan yang mulia ini.

Namun, senario yang berbeza dapat dilihat apabila tanggungjawab tersebut hanya diletakkan kepada seorang sahaja, iaitu individu yang bergelar ibu tunggal.

Wahida Yahaya, 50, merupakan seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai seorang operator di sebuah kilang di Batu Gajah, Perak yang menggalas tanggungjawab sebagai seorang ibu dan bapa kepada lima orang anaknya.

Menurutnya, beliau sudah biasa membuat persiapan raya buat anak-anak seorang diri kerana sejak menjadi ibu tunggal kerana arwah suaminya telah meninggal dunia 15 tahun yang lalu.

“Arwah suami saya sudah tiada sejak 2009, dan saya sudah lali dengan mengendalikan semua hal sendirian. Namun, tidak dapat dinafikan pada beberapa tahun pertama bulan Syawal sebagai seorang ibu tunggal, ia tidak mudah untuk saya hadapi.

“Namun begitu, kekangan yang saya hadapi sudah tentu dari sudut kewangan kerana gaji yang saya terima cukup untuk menampung kos harian sahaja maka agak sukar untuk saya memenuhi keinginan anak-anak yang menginginkan baju raya baharu pada setiap tahun.

“Untuk mengatasi daripada perkara tersebut berlaku, saya akan sentiasa menabung beberapa bulan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri untuk memudahkan urusan perbelanjaan sepanjang bulan perayaan itu,” katanya ketika ditemui Malaysia Bangkit.

Wahida turut berkata, dia kini bersama beberapa orang anaknya sudah menamatkan pelajaran dan sudah memiliki pekerjaan masing-masing.

“Mereka semua sudah mula bekerja dan ada pendapatan sendiri. Mereka akan memberikan saya duit belanja dan membantu menguruskan persediaan terutama ketika meraikan Lebaran.

“Sejujurnya saya berasa sangat bersyukur memiliki anak yang bertimbang rasa dan rasa tanggungjawab. Pemberian mereka itu secara tidak langsung membantu dalam meringankan beban kewangan masa kini,” katanya.

Kesusahan yang dihadapi pada peringkat awal menjadi ibu tunggal kini telah membuahkan hasil apabila melihat anak-anaknya berjaya walaupun hidup dalam keadaan serba lengkap dan mampu berdikari sendiri, meskipun hanya dibesarkan oleh seorang ibu tunggal.

Baca juga: