Seorang maut, lima cedera dalam kemalangan di Kampung Gajah

Seorang maut manakala lima cedera dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Pekan Kampung Gajah, Tanjung Tualang, Perak pada pukul 7.16 malam pada Ahad.

Komander Operasi, PBK II Megat Mohd Dahari Jamaluddin melaporkan kemalangan tersebut melibatkan seramai enam orang mangsa yang menaiki kereta jenis Perodua Kancil dan Proton Perdana V6.

“Pihak bomba berjaya mengeluarkan lima orang mangsa yang tersepit di dalam kenderaan dan salah seorang mangsa yang menaiki Perodua Kancil telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya dan mangsa yang cedera telah diserahkan kepada pegawai perubatan KKM untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Operasi tersebut melibatkan seramai 16 orang anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah dan Seri Iskandar bersama jentera FRT dan kenderaan unit EMRS.

Baca juga: