Kerajaan bersetuju untuk mempertimbangkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang, dengan satu draf Memorandum Persefahaman (MoU) akan dirangka untuk rundingan seterusnya, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menerusi satu kenyataan media, Fadillah berkata perkara itu dipersetujui pada Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Sri Perdana, Putrajaya pada Rabu.
“Secara dasar bersetuju untuk mempertimbang menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.
“Ke arah itu satu draf MoU akan dirangka terlebih dahulu dan dipanjangkan kepada pembangkang sebagai langkah perundingan seterusnya,” jelasnya.
Terdahulu, Fadillah mengadakan pertemuan dengan pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang disertai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee bagi membincangkan isu peruntukan wakil rakyat.
Difahamkan, Hamzah meminta kerajaan mengemukakan cadangan rasmi berhubung peruntukan sama rata untuk Ahli Parlimen pembangkang iaitu kira-kira RM3.8 juta setahun.
Jelas beliau, pendekatan itu digunakan semasa kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengikat memorandum persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik dengan Pakatan Harapan pada September 2021.
Ia menetapkan beberapa syarat untuk membolehkan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menerima peruntukan pembangunan sama.
Baca juga: